PENDANG 22 Dis. - Seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Tiang di sini membuktikan kecacatan bukanlah penghalang untuk mencapai keputusan cemerlang apabila meraih sembilan A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2011 yang diumumkan hari ini.
Muhammad Hadi Darus, 15, yang menulis dengan menggunakan kaki kerana mengalami kecacatan pada kedua-dua belah tangan sejak kecil berjaya mendapat A dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Geografi, Bahasa Arab, Pendidikan Islam, Matematik, Sains dan Kemahiran Hidup.
Dia yang merupakan anak kedua daripada lima beradik berkata, ejekan yang diterima pada waktu kecil menjadikan dia lebih bersemangat untuk mengejar kejayaan dalam pelajaran.
“Masa kecil dulu ada yang ejek saya sebab cacat tetapi ejekan mereka menjadi pembakar semangat saya untuk berjaya.
“Sekarang tiada lagi yang ejek saya dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada ibu bapa, guru dan rakan-rakan yang banyak membantu saya sehingga berjaya dalam peperiksaan ini,” katanya ketika ditemui di SMK Sungai Tiang di sini hari ini.
Muhammad Hadi yang bercita-cita ingin menjadi pensyarah berkata, dia hanya mengikuti tuisyen di sekolah setiap hari dan mengulang kaji pelajaran setiap malam.
“Saya pun tidak sangka akan dapat sembilan A kerana saya tidak yakin sewaktu menjawab kertas peperiksaan Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Sejarah.
“Saya berharap akan dapat memasuki Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kedah di Alor Setar bagi mendalami Bahasa Arab yang merupakan mata pelajaran kegemaran saya,”katanya.
Dalam pada itu, turut berkongsi kegembiraan dengan Muhammad Hadi di SMK Sungai Tiang ialah pasangan kembar, Nur Asyiqin Azmi dan Nur Aisyah Azmi, 15, yang berjaya mendapat A dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Geografi, Pendidikan Islam, Matematik, Sains dan Kemahiran Hidup.
Mereka yang belajar di kelas yang sama sejak darjah satu juga berkongsi cita-cita untuk menjadi doktor suatu hari nanti.
Nur Asyiqin berkata, amalan membaca surah Yassin dan al-Quran setiap hari membantu mereka untuk mendapatkan fikiran dan hati yang tenang sewaktu menghadapi peperiksaan.
“Kami bercadang mahu melanjutkan pelajaran di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan kami tidak kisah jika tidak mendapat MRSM yang sama kerana kami rasa sudah sampai masanya kami berdua berpisah jika perlu demi mengejar cita-cita kami,” jelasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan