Followers

Flash Vortex

shoutbox

Ahlan Wasahlan


Click here for Myspace Layouts

Jumaat, 16 November 2012

:: Kisah Seorang Perempuan Yang begitu Menjaga Rezekinya ::



Sahabat yang dimuliakan,
Terdapat satu kisah berlaku dizaman Imam Ahmad bin Hanbal (Imam Hanbali) bagaimana seorang wanita solehah (ibu tunggal) cukup menjaga keberkatan rezeki yang diperolehi.


Selepas solat Asar, Imam Hanbali menasihati orang ramai di dalam masjid. Ketika itu perbualannya terhenti seketika apabila seorang perempuan muda masuk ke dalam masjid menemui Imam Hanbali.


“Wahai Imam Hanbali, dengarkanlah kisah ku ini semoga diriku dan dirimu mendapat keampunan dari Allah. Sesungguhnya saya ini perempuan yang miskin. Saya tidak punya apa-apa kecuali tiga orang anak yang masih kecil.


Hidup saya sungguh melarat, hinggakan kami tidak punya lampu untuk menerangi rumah. Bagi menyara kehidupan kami empat beranak, saya berkerja memintal benang pada waktu malam dan menjualnya di pasar pada siang hari.”


“Dimanakah suami kamu?’ soal Imam Hanbali.


“Dia antara mereka yang menentang Khalifah al-Muktasim yang zalim itu. Dia gugur syahid dalam satu pertempuran dengan pasukan tentera yang hendak menangkap mereka. Sejak itu kami hidup melarat.” jawab wanita itu.


“Teruskan cerita kamu.” pinta Imam Hanbali.


“Disebabkan rumah saya tidak ada lampu, maka saya terpaksa menunggu sehingga bulan mengambang barulah saya dapat memintal benang.” kata wanita itu.


“Pada suatu malam, ada kafilah dagang dari Syam datang lalu singgah bermalam berhampiran dengan rumahku. Mereka membawa lampu yang banyak sehingga menerangi rumahku. Kesempatan ini digunakan untuk aku memintal benang dengan bantuan cahaya lampu mereka.”


“Persoalannya, apakah hasil jualan benang yang dipintal itu daripada lampu mereka itu halal untuk digunakan?” soal wanita itu setelah menceritakan dengan panjang lebar permasalahannya.


“Siapakah kamu wahai wanita muda yang begitu mengambil berat tentang hukum agama di saat manusia begitu kikir dengan hartanya?’ soal Imam Hanbali dengan penuh kekaguman.


“Saya adalah adik kepada Basyar Al Hafis yang telah meninggal dunia.” jawab wanita itu.


Mendengar jawapan itu, Imam Hanbali berasa sebak dan tersedu-sedu menahan esak. Ini kerana dia teringat dengan Basyar, seorang gabenor yang beriman dan beramal soleh.


“Sesungguhnya, saya takut dengan azab Allah. Maka berikanlah masa kepada saya untuk menjawab persoalan itu. Baliklah ke rumah dahulu, kemudian datang keesokan harinya.” kata Imam Hanbali.


Keesokan harinya, datang wanita muda itu untuk mendengar jawapan dari Imam Hanbali.


“Wahai wanita solehah, sesungguhnya kain penutup muka yang kamu pakai itu adalah lebih baik dari serban yang aku pakai. Sesungguhnya kamu seorang wanita yang mulia, bertakwa dan penuh takut kepada Allah.”


“Wahai tuan, bagaimana dengan pertanyaan saya semalam?” tanya wanita muda itu.


“Berkenaan dengan itu, sekiranya kamu belum mendapat keizinan daripada rombongan tersebut, maka tidak halal kamu menggunakan wang dari hasil jualan benang yang dibuat menggunakan lampu mereka.” jawab Imam Hanbali.


Wanita itu berasa susah hati mendengarnya. Dia susah hati kerana belum mendapat keizinan dari rombongan tersebut. Beliau sanggup menemui seorang demi seorang rombongan tersebut untuk meminta izin.


Berita tentang wanita solehah itu sampai ke pengetahuan Khalifah al-Mutawakkil. Khalifah begitu kagum dengan wanita tersebut dan menghadiahkan wang sebanyak 10 ribu dinar.


Perempuan itu bertanya kepada Imam Hanbali, adakah wang itu halal digunakan atau tidak.


“Khalifah juga pernah memberikan saya wang sebanyak itu, tapi saya sedekahkan kepada fakir miskin yang saya temui di tengah jalan.” jawab Imam Hanbali.


Maka, wanita solehah itu telah memberi sedekah kepada fakir miskin. Dia hanya mengambil sedikit sahaja wang itu untuk dibelinya lampu bagi menerangi rumahnya.


Sahabat yang dimuliakan,
Bagaimana Allah SWT telah membantu hamba-Nya yang jujur dan ikhlas dan sentiasa berhati-hati di dalam mencari harta yang halal dan diberkati oleh Allah SWT. Berhati-hati supaya tidak ada harta haram yang akan dimakan sehingga menjadi darah daging kepada diri sendiri dan ahli keluarga.


Nabi SAW bersabda maksudnya : "Setiap daging yang tumbuh dari bahan makanan yang haram maka api nerakalah yang lebih layak baginya." (Hadis riwayat Al-Tarmizi) 


Manusia yang masih berani melanggar perintah Allah SWT dan berterusan melakukan maksiat dan kemungkaran secara terang-terangan mahupun tersembunyi untuk mendapatkan rezeki yang haram adalah merupakan manusia yang tidak mempunyai perasaan atau yang telah mati rasa kemanusiaannya, mana-mana manusia yang telah mati rasa kemanusiaannya, sebenarnya mempunyai penyakit jiwa yang parah dan mereka akan sanggup melakukan apa sahaja kemungkaran dan kejahatan demi menunaikan keinginan dan dorongan nafsu syahwatnya yang tidak pernah puas. Sikap dan tindakan ini juga sudah pasti akan mendapat dokongan yanag kuat daripada para iblis dan syaitan.



Sahabat yang dikasihi,
Marilah kita cari keberkatan di atas rezeki yang kita cari supaya dengan rezeki yang berkat ini akan melahirkan jiwa yang bersih dan taat kepada Allah SWT dan melahirkan anak-anak yang soleh dan solehah. Harta yang halal dan berkat juga apabila disedekahkan akan di tambah dan digandakan oleh Allah SWT dijalan yang tidak di sangka-sangka. Sebaliknya pula harta yang haram dan tidak berkat akan menjadikan harta tersebut tidak mencukupi dan akan hilang dan binasa tanpa diduga seperti rugi dalam perniagaan, rumah terbakar, ditipu orang dan habis digunakan untuk berubat sedangkan penyakitnya tidak sembuh-sembuh. Wallahualam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Al-Quran

~Tenangkan Minda Seketika~


MusicPlaylistView Profile
Create a playlist at MixPod.com